IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia di Pulau Pinang petang tadi, akan dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd. Azlan Helmi Helmi berkata, keperibadian Allahyarham yang mudah didampingi bukan sahaja disenangi penduduk di kawasan malah dalam kalangan rakan politik.
Katanya, sebagai salah seorang exco kerajaan negeri, beliau mengakui mempunyai hubungan baik dengan Allahyarham.
“Secara peribadi saya mengenali Allahyarham sebagai seorang yang peramah, periang, mudah didekati dan tidak terlalu berprotokol selain boleh diajak berbincang.
“Malah, ketika di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pun, beliau antara pemimpin yang aktif menyuarakan permasalahan di kawasan. Pemergian beliau bukan sahaja kehilangan untuk penduduk di Ayer Kuning malah untuk negeri Perak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Semarak Keadilan Kita Madani, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Azlan, beliau terkejut dengan pemergian Ishsam dan mengakui tidak pernah mengetahui sama ada Allahyarham menghidap sebarang penyakit.
“Sebenarnya saya terkejut sebab tidak pernah tahu atau dimaklumkan beliau menghidap sakit tertentu, memang tak ada. Sebelum ini jumpa beliau dalam keadaan sihat, tak ada apa-apa gejala atau nampak dia dimasukkan ke hospital.
“Jadi, memang terkejut dan sedihlah. Bagi pihak PKR negeri, saya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga urusan pengebumian yang dijangka esok akan dipermudahkan,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang itu, wakil rakyat berusia 59 tahun itu dilaporkan tidak sedarkan diri ketika bersalaman dengan pemain lain pada Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.
Allahyarham yang juga bekas pemain bola sepak itu sempat diberikan rawatan kecemasan di tepi padang sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang pada pukul 6.28 petang. – UTUSAN