IPOH: Biarpun sedar berdepan tugas berat, Perak FC bertekad memberi saingan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pertembungan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 24 Februari ini.
Ketua Jurulatih Perak FC, Mohd. Yusri Che Lah berkata, Perak akan berusaha memberi tentangan kepada JDT yang pastinya akan turun dengan semangat yang tinggi, kerana jika menang, JDT akan mengesahkan kejuaraan liga kali ke-11 berturut-turut lebih awal.
Mohd. Yusri mengakui ia bukan satu tugas yang mudah, lebih-lebih lagi skuad kendalian Hector Bidoglio itu mencatat kejayaan mara ke ke pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas menewaskan kelab Korea Selatan Pohang Steelers FC 5-2 di laman sendiri.
“Mereka pasukan yang cukup lengkap. Bukan hanya tidak pernah tewas malah rekod seri pun tak dapat dilakukan mana-mana pasukan apabila menentang JDT di SSI.
“Namun, kita tetap akan cuba untuk menyaingi mereka dan kalau boleh sekurang-kurangnya mencuri satu mata di SSI bagi menyekat hajat JDT untuk menjulang kejuaraan di hadapan penonton mereka sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Untuk rekod, JDT masih unggul di kedudukan teratas liga daripada 13 pasukan apabila mengumpul 55 mata manakala The Bos Gaurus berada di tempat kelima dengan 23 mata.
Mohd. Yusri berkata, buat masa ini tumpuannya lebih terarah kepada aspek kecergasan serta taktikal yang dilihat amat penting dalam memastikan segala kelemahan dapat diperbaiki sebelum perlawanan itu nanti.
“Kedua-dua aspek ini yang akan menjadi pendorong dan memudahkan saya untuk memilih kesebelasan utama terbaik bagi perlawanan itu nanti,” katanya.
Mengenai perkembangan terkini pemain, beliau berkata, setakat ini terdapat sekurang-kurangnya enam pemain yang telah mengutip kad kuning dan rata-rata daripada mereka merupakan tonggak utama pasukan.
Antara pemain tersebut adalah Muhammad Firdaus Saiyadi, Tommy Mawat Bada, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, Adilet Kanybekov, Luciano Guycochea dan A.Shivan Pillay.
“Walaupun boleh dikatakan semua pemain bebas daripada kecederaan namun saya masih bimbang dengan kutipan kad kuning.
“Jika ada antara mereka yang mengutip kad dalam perlawanan menentang JDT nanti, bermakna Perak akan kehilangan khidmat mereka untuk perlawanan seterusnya.
“Ini akan mengecilkan saiz skuad dan merugikan Perak dalam usaha untuk mengutip mata,” katanya. – UTUSAN