Penyelidik Unimap lakar sejarah di UK

Penyelidik Unimap lakar sejarah uji bahan salutan geopolimer di UK

RAFIZA Abdul Razak bersama pelajar, Dickson Ling menyediakan sampel untuk pengujian Engin-X di Rutherford Appleton Laboratory, United Kingdom baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan pengujian bahan salutan geopolimer di Rutherford Apple­ton Laboratory, United Kingdom (UK) baru-baru ini.

Ia seiring dengan pengiktirafan geopolimer sebagai bahan termaju masa depan seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara 2021-2030.

Ketua penyelidik merangkap Timbalan Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, ia adalah kali pertama bahan berasaskan geopolimer diuji di fasiliti bertaraf antarabangsa yang sebelum ini lebih tertumpu kepada bahan logam dan aloi.

Katanya, pengujian tersebut menggunakan Engin-X dari pera­latan ISIS Neutron and Muon Source (ISIS).

“Engin-X ialah garis pancaran khas yang menggunakan pem­belauan neutron bagi mengkaji sifat kejuruteraan bahan hasil ciptaan saintis, Dr. Tung Lik Lee.

“Pengujian ini juga merupakan pencapaian penting dalam memperkukuhkan pemahaman terhadap bahan geopolimer khususnya dalam aplikasi industri,” katanya di sini semalam.

Mohd. Mustafa menyifatkan kejayaan pengujian bahan geopolimer hasil penyelidikan bersama Prof. Madya Dr. Rafiza Abdul Razak juga dari Unimap itu sebagai satu sumbangan pihak universiti terhadap pencapaian penyelidikan dan inovasi Malaysia di peringkat global.

“Kami amat bersyukur ke­rana berjaya melaksanakan pe­ngujian ini. Ia memberikan pemahaman lebih mendalam tentang sifat bahan geopolimer sebelum diaplikasikan dalam industri.

“Program berprestij ini juga adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Scien­ce and Technology Facilities Council (STFC), UK, di bawah program International Science Partnerships Fund (ISPF).

“Kami turut merakamkan penghargaan kepada KPT dan STFC atas inisiatif yang membuka peluang kepada penyelidik tempatan meneroka teknologi bertaraf antarabangsa,” kata­nya.

Beliau juga berharap kejayaan tersebut akan menyaksikan lebih banyak kajian dan inovasi dapat dijalankan oleh penyelidik tempatan dalam usa­ha membawa teknologi bahan termaju Malaysia ke persada dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya