KUALA LUMPUR: Masalah penyelewengan merupakan antara faktor yang menyebabkan produktiviti pengeluaran padi dan beras di negara ini terjejas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak menolak bahawa masalah penyelewengan merupakan antara faktor krisis melibatkan bekalan makanan ruji di negara ini berlaku.
Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berkaitan isu tersebut.
“Saya tidak mahu nafikan berlaku penyelewengan. Biar badan penguatkuasa siasat. Saya juga teliti kenyataan Menteri Besar (Kedah), kalau ada bukti maklumkan kepada kita untuk diambil tindakan.
“Tetapi yang nyata adalah produktiviti pengeluaran padi di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu itu sangat rendah ketimbang di Sekinchan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dari Dr Mohammed Taufiq Johar (PH-Sungai Petani) yang meminta penjelasan kerajaan adakah terdapat penyelewengan dalam industri padi dan beras.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pengurusan padi dan beras di Sekinchan boleh dijadikan sebagai contoh untuk diaplikasi di daerah mahupun negeri lain.
Jelasnya, ia termasuk dengan menggembleng pengurusan benih, baja dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), digital serta dron.
“Ia seperti yang dilakukan oleh (syarikat) Sime Darby dalam industri kelapa sawit. Saya ucapkan terima kasih kerana kerajaan negeri Kedah beri kerjasama dari segi pengurusan tanah yang sesuai untuk mempercepatkan.
“Kita juga cadangkan kerana kerajaan negeri bimbang perluasan kawasan tanah padi. Kita tidak bermaksud menambah kawasan, malah kawasan boleh dikurangkan kalau produktiviti ditambah,” katanya.-UTUSAN