MENYAKSIKAN bagaimana sembilan penyanyi wanita kelahiran Sabah berpadu suara ketika konsert A Night With Sumandak Stars di ibu negara, tahun lalu, saya bangga kerana anak-anak negeri ini berbakat dan membantu kepada pembangunan industri muzik dalam ruang perniagaan seni dan hiburan yang lebih besar.
Konsert itu antaranya menampilkan Marsha Milan, Azharina Azhar, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Salma Asis, Ayu Damit dan Wany Kayrie. Saya tolak ke tepi Bella Astillah dan adiknya, Didi Astillah, kerana kedua-duanya masih belum mencapai tahap membanggakan sebagai penyanyi kebangsaan dengan lagu yang benar-benar kuat.
Sedangkan penyanyi lain itu masing-masing memiliki lagu hits yang mengekalkan jenama mereka untuk tempoh yang panjang – seperti mana Marsha dengan Untuk Terakhir Kali, Azharina (Elegi Sepi), Adira (Ku Ada Kamu), Nikki (Caramu), Ayu (Hanya Di Mercu) dan Wany (Jangan-Jangan).
Selain album, pencapaian dan anugerah mereka peroleh membuktikan mereka benar-benar serius bermuzik. Saya tidak melupai Stacy menggerakkan aliran dance-pop, elektropop dan pop rock berawal album Aku Stacy disusuli Stay~C dan #1.
Kesemua mereka muncul dari zaman berbeza, namun, menggenggam misi sama ke tanah Melayu untuk menjadi penghibur dengan pakej serba lengkap, diterima umum dan sebaris penyanyi nasional.
Di sebalik saya melihat kehadiran mereka di pentas komersial, sebenarnya masih ramai anak negeri selain mereka berbakat besar. Bagaimanapun, mereka tidak memiliki peluang sama atau pintu rezeki hanya terbuka setakat di peringkat negeri atau bersifat lokal.
Lama-kelamaan, mereka selesa bermuzik dalam zon sendiri walaupun lagunya tidak mainstream dan memberi impak terlalu besar. Lantas, bakat hanya tinggal bakat tanpa pemacu, menyebabkan mereka tidak mampu terbang lebih tinggi.
Saya sudah saksikan, ada yang menjuarai program nyanyian realiti televisyen dan namanya sentiasa menjadi sebutan. Ada juga banyak kali masuk di pelbagai saluran pertandingan nyanyian, namun, populariti tidak mempunyai kelangsungan panjang dan akhirnya pulang ke kampung halaman.
Mungkin undangan persembahan tetap ada, tetapi level mereka hanya di acara keramaian dan kebudayaan.
Produk baharu juga ada, tetapi, sasaran pendengar lebih kecil dan kekurangan itu menyebabkan mereka gagal meniagakan produk seni dalam skala besar. Di manakah lompongnya sehingga bakat dipandang sepi?
Elica Paujin, Rosario Bianis, Nera, Dabra Sia, Fanzi Ruji, Hosiani Keewon, Eylia Guntabid, Rubisa dan ramai lagi. Kesemua penyanyi lokal ini mempunyai suara cukup memukau, namun, mereka kurang laku dan tidak mendapat keadilan sepatutnya dalam ruang muzik mainstream sehingga terpuruk di bawah tempurung.
Apakah kerana tiada syarikat rakaman lebih kukuh untuk bernaung dan menguruskan kerjaya seni, kesilapan sendiri memilih komposer dan penerbit atau kekurangan dana?
Sabah bertuah kerana ada Marsha dan rakan penyanyi senegerinya berdiri sebagai simbolik seni yang membawa dan menyatukan budaya antara dua tanah besar. Tanyalah penyanyi kelas A ini bagaimana mereka mampu bertahan hingga hari ini sejak menyertai Bintang RTM, Malaysian Idol, Akademi Fantasia (AF), One in a Million (OIAM) atau Mentor?
Namun, kesemua mereka tidak akan selamanya berada di atas. Sampai bila kita terus bergantung pada sejumlah kecil penyanyi ini untuk menyerlah sedangkan masih ramai yang boleh menjadi pelapis?