NARATHIWAT, THAILAND: Penyanyi wanita dialek Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, akan memberi keterangan di Mahkamah Wilayah Narathiwat, esok atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Dua lagi rakannya iaitu Zuhaira Nasrin, 36, dan Erdieka Mohd. Noor, 33, turut memberikan keterangan bersama penyanyi sohor Kelantan tersebut.
Setakat ini, suami Eda Ezrin iaitu Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama dua lagi rakannya, Mohamad Alif Deraman, 33 dan Nor Aida Mamat, 33, sudah selesai memberikan keterangan.
Mahkamah akan kembali bersidang esok untuk mendengar keterangan tiga lagi tertuduh.
Pada sebelah pagi ini, seorang anggota polis dan dua pekerja hotel hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan.
Terdahulu, pada Selasa tiga anggota telah menjadi saksi pendakwaan kes terbabit.
Kesemua tertuduh diwakili oleh peguam yang dilantik oleh keluarga.
Media sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin dan suaminya serta empat lagi rakan didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Eda Ezrin dan suaminya bersama empat lagi tertuduh iaitu Erdieka, Mohamad Alif, Nur Aida serta Zuhaira mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.
Bagaimanapun mereka tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok dekat sini, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan sendiri oleh Hakim Yuan Khao Kham.
Sementara itu, Erdieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.
Mengikut undang-undang di Thailand, kesalahan memiliki 6,000 pil kuda boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda 200,000 baht atau RM25,880.
Untuk rekod, mahkamah juga melarang media menulis nama hakim perbicaraan, saksi dan pendakwa raya manakala, tiga peguam yang mewakili tertuduh pula enggan bercakap dengan media.
Difahamkan keputusan kes itu akan dibuat pada awal Mac ini. – UTUSAN