Penunggang nyaris maut langgar kenderaan APM

Penunggang nyaris maut langgar kenderaan APM

Penunggang APM
PENUNGGANG motosikal nyaris maut apabila terlanggar bahagian belakang pacuan empat roda milik APM dekat persimpangan lampu isyarat Pekan Meru, di Klang, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tugas menyelamat oleh sepasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tergendala selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal dekat persimpangan lampu isyarat Pekan Meru, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan tersebut, penunggang motosikal yang merupakan seorang pemuda berusia 25 tahun nyaris maut apabila terlanggar bahagian kiri belakang kenderaan milik APM itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd. Rahimi Zainol berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, penunggang itu dalam perjalanan dari kediamannya ke rumah mentuanya tidak jauh dari persimpangan berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari Bukit Kapar menuju Taman Sri Muda, Shah Alam selepas menerima panggilan kecemasan.

“Apabila sampai di persimpangan, sebuah motosikal ditunggangi pemuda terbabit melanggar bahagian sisi kiri belakang kenderaan berkenaan. Akibat daripada kemalangan itu, dia mengalami patah pada bahagian bahu kiri,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Susulan itu, pemuda yang merupakan pekerja swasta di Kuala Lumpur itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan dan dibenarkan pulang pada hari ini.

Tambah Mohd. Rahimi, kes disiasat di bawah Seksyen 34(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menasihatkan orang ramai supaya memandu secara berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya.

“Sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut bolehlah disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya