GEORGE TOWN : Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di terowong Jalan Masjid Negeri di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi semalam itu, motosikal yang ditunggangi mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Mohammad berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.
“Pemandu kereta iaitu seorang wanita berusia 46 tahun tidak mengalami kecederaan manakala seorang penumpang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang turut berada dalam kereta tersebut cedera di bahagian tangan,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video mengenai kemalangan terbabit. Difahamkan, laluan di terowong Jalan Masjid Negeri itu hanya boleh dilalui oleh kereta dan motosikal tidak dibenarkan melalui jalan tersebut.
Dalam pada itu, Abdul Rozak berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta untuk tampil bagi membantu siasatan. – UTUSAN