PETALING JAYA: Penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat merupakan penyelesaian adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan serta kestabilan di Timur Tengah.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, perkara itu berdasarkan sempadan pra-1967 dengan meletakkan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Katanya, masyarakat antarabangsa mesti bersatu dalam menyeru penyelesaian yang adil dan berkekalan yang dihormati serta diterima oleh rakyat Palestin
“Malaysia kekal teguh dalam solidaritinya bersama rakyat Palestin. Satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah adalah melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
“Pendekatan ini kekal sebagai pendirian prinsip Malaysia dan sejajar dengan sokongan jangka panjang masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara.
“Masyarakat antarabangsa mesti bersatu dalam menyeru penyelesaian yang adil dan berkekalan yang dihormati serta diterima oleh rakyat Palestin,” kata kenyataan itu hari ini.
Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengemukakan cadangan luar biasa agar AS ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza, ketika beliau menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk rundingan penting mengenai gencatan senjata dengan Hamas.
Trump juga menggandakan gesaannya supaya rakyat Palestin keluar dari wilayah yang dilanda perang itu menuju ke negara Asia Barat lain seperti Mesir dan Jordan, walaupun rakyat Palestin dan kedua-dua negara itu sebelum ini menolak mentah-mentah cadangan tersebut.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, tindakan pemindahan atau pengusiran paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka merupakan pembersihan etnik yang jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, Malaysia dengan tegas menolak sebarang cadangan tersebut yang dilihat menafikan hak Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri.
“Usaha itu mencabuli kebebasan mereka yang tidak boleh diterima apatah lagi tidak dapat dipertahankan kerana akan memburukan konflik paling berpanjangan di rantau itu,” katanya
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, Malaysia menegaskan semula seruannya seperti yang terkandung dalam Resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam 2024 yang diterima pakai pada 11 November 2024.
“Ia agar semua negara yang masih belum menyokong penyelesaian dua negara segera mengambil langkah untuk mengiktiraf Negara Palestin dan menyokong keanggotaan penuhnya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ini merupakan langkah penting pertama ke arah memastikan keselamatan dan keamanan jangka panjang bagi rakyat Palestin serta kestabilan rantau Timur Tengah,” kata kenyataan.
Selain itu, Malaysia juga menegaskan sokongan terhadap usaha diplomatik dan multilateralisme termasuk inisiatif sedang digerakkan Global Alliance dan The Hague Group, dalam memastikan keamanan berkekalan melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.-UTUSAN