KLANG: Penjualan alat nyah aktif penggera tali pinggang keledar atau dummy buckle akan diharamkan di pasaran negara ini bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan penguatkuasaan larangan itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Katanya, penggunaan alat itu yang menjadi trend kebelakangan ini, melanggar peraturan kerana ramai pengguna tidak memakai tali pinggang keselamatan ketika berada dalam kenderaan.
“Kebanyakan kenderaan baharu kini mempunyai sensor (penggera) dan akan berbunyi sekiranya tali pinggang keselamatan tidak dipakai.
“Namun, ada yang kreatif menggunakan dummy buckle supaya sensor tidak berbunyi. Jadi, kita akan berbincang dengan KPDN supaya diharamkan penjualannya di pasaran,” katanya selepas merasmikan majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan meluncurkan Malaysia Maritime Single Window di sini, semalam.
Minggu lalu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf dilaporkan berkata, notis tertinggi dikeluarkan pada Operasi Khas Tahun Baharu Cina merupakan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dengan lebih 30 peratus daripadanya menggunakan aksesori berkenaan.
Ia berpunca daripada dummy buckle dalam kalangan pengguna bagi menghentikan penggera dengan alasan tidak selesa dan terlupa.
Loke mengingatkan pengguna supaya tidak mengabaikan atau berkompromi dalam isu keselamatan terutama ketika berada di jalan raya.
“Memakai tali pinggang keselamatan itu bukan kerana ada peraturan tetapi bagi keselamatan.
“Jangan rasa elak daripada bunyi sensor kenderaan itu melindungi seseorang pemandu dan penumpang terutama di bahagian hadapan,” katanya. – UTUSAN