Penjawat awam Pahang pulang awal hari Jumaat bulan Ramadan

Penjawat awam Pahang pulang awal hari Jumaat bulan Ramadan

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan hadiah kepada barisan pemenang pertandingan  Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri (MTQN) Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. - UTUSAN/SHEIK AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menetapkan waktu bekerja bagi penjawat awam negeri ini pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan adalah sehingga pukul 12.30 tengah hari.

Baginda bertitah, keputusan itu bertujuan memberi peluang kepada penjawat awam meluangkan lebih masa bersama keluarga di samping memuliakan hari Jumaat iaitu penghulu segala hari. 

“Keputusan dan kemudahan yang diberikan ini adalah untuk memberi peluang kepada penjawat-penjawat awam memanfaatkan lebih masa bersama keluarga di bulan Ramadhan di samping memuliakan hari Jumaat.

“Saya berharap semua akan menunaikan sembahyang fardu Jumaat. Jangan siapa-siapa ponteng pula,” titah baginda ketika berkenan bercemar duli menyempurnakan Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur kali ke-68 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam. 

Titah baginda, keputusan itu turut dipersetujui dan diluluskan oleh kerajaan negeri dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 5 Februari lalu.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, bulan Ramadan yang bakal tiba turut menjadi waktu dan medan terbaik untuk kembali kepada fitrah dan mengurangkan tumpuan kepada isi hal dunia.

“Saya juga tidak terlepas dalam menghidupkan pembacaan al-Quran dan mentadabbur ayat suci al-Quran bersama-sama pegawai dan staf di Istana Abdulaziz.

“Sesungguhnya, al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi difahami dan dihayati maknanya. IImu al-Quran ini wajib dipelajari secara bertalaqi, sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diajarkan oleh malaikat Jibril,” titahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN