PUTRAJAYA: Penjawat awam diberi pilihan untuk pulang setengah jam lebih awal daripada waktu bekerja sebenar sepanjang bulan Ramadan ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu telah diputuskan menerusi peraturan waktu bekerja fleksi yang telah dimuktamadkan sebelum ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, penjawat awam boleh merujuk lanjut perkara itu dengan ketua bahagian masing-masing.
“Penjawat awam boleh rujuk sama ada ketua bahagian mereka ataupun (ketua) jabatan, TKSU (Timbalan Ketua Setiausaha) ataupun KSU (Ketua Setiausaha) kementerian untuk penjelasan sekiranya mereka belum lagi mengisi borang tersebut ataupun memaklumkan pilihan mereka.
“Jadi Insya-Allah sepanjang bulan Ramadan bagi penjawat awam yang memilih waktu bekerja fleksi opsyen B mereka boleh balik 30 minit lebih awal. Tapi kerja mesti siap,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan maklumat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, penjawat awam boleh memilih untuk kekal dengan waktu bekerja sedia ada atau memendekkan waktu rehat selama 30 minit dan pulang ke rumah 30 minit lebih awal.
Maklumat lanjut mengenai waktu bekerja fleksi seperti yang termaktub dalam pekeliling perkhidmatan iaitu di https://docs.jpa.gov.my/docs/pp/2019/pp052019.pdf.
Sebelum ini, beberapa negeri memutuskan penjawat awam negeri dibenarkan pulang lebih awal dan kelonggaran waktu bekerja sepanjang Ramadan ini.
Ia termasuk Pahang yang membenarkan penjawat awam negeri pulang lebih awal pada setiap hari Jumaat sepanjang Ramadan, dengan waktu bekerja berakhir pada pukul 12.30 tengah hari.
Bagi Negeri Sembilan pula, penjawat awam wanita dibenarkan pulang seawal pukul 2 petang pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan, manakala di Selangor, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran kepada penjawat awam wanita pulang lebih awal ketika Ramadan. – UTUSAN