Peningkatan premium insurans: Wujud keperluan ubah ekosistem hospital

Peningkatan premium insurans: Wujud keperluan ubah ekosistem hospital

SIM TZE TZIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan meneliti semua syor, cadangan dan masalah yang disuarakan berhubung peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam.

Ahli Jawatankuasa PAC, Sim Tze Tzin berkata, terdapat keperluan untuk mengubah ekosistem di hospital kerajaan dan swasta selepas pelbagai aduan yang dibentangkan semasa sesi pendengaran awam.

Katanya, terdapat dua isu utama yang dibangkitkan sepanjang sesi berkenaan iaitu kenaikan harga insurans perubatan dan caj hospital swasta yang terlampau tinggi.

“Rakyat tidak berpuas hati dengan caj hospital swasta kerana wujud perbezaan ketara antara mereka yang memiliki Guarantee Letter (Surat Jaminan) dengan yang membayar caj sendiri.

“Setiap pengguna mempunyai pengalaman berbeza. Bank Negara Malaysia (BNM) pernah mendedahkan bagi penyakit Pneumonia cajnya adalah tiga kali ganda, penyakit Denggi pula empat kali ganda perbezaan.

“Jadi, perkara ini perlu diteliti dengan lebih mendalam,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Pendengaran Awam PAC di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Sesi PAC yang berlangsung selama hampir empat jam itu dihadiri oleh seramai 550 individu yang terdiri daripada pakar perubatan, wakil insurans dan takaful, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengguna.

Tze Zin berkata, pihaknya turut memandang serius kesan terhadap kesihatan awam apabila klinik dan hospital kerajaan menjadi sesak berikutan orang amai tidak lagi mampu ke hospital swasta.
“Ada juga pengguna yang terpaksa membatalkan langganan insurans perubatan berikutan berlaku kenaikan harga premium.

“Selain itu, banyak isu lain yang ditimbulkan seperti harga ubat-ubatan. Jadi, kita perlukan sistem kesihatan yang baik kerana ia adalah hak asasi setiap manusia,” katanya.

Disoal keperluan menubuhkan jawatankuasa bagi menyelia kenaikan harga premium insurans kesihatan, Tze Tzin berkata, pihaknya akan mengkaji kesemua syor sebelum mengutarakan kepada pihak kerajaan bagi mencari penyelesaian komprehensif.

Selepas dua sesi pendengaran awam yang dijalankan termasuk di Pulau Pinang, 14 Februari lalu, PAC akan memulakan prosiding berhubung isu berkenaan di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan BNM pada 24 Februari depan.

Timbalan Pengerusi PAC, Teresa Kok berkata, penyata laporan berhubung isu tersebut dijangka dapat dibentangkan semasa sesi persidangan Dewan Rakyat, Jun depan.

“Jawatankuasa PAC akan memanggil semua pihak berkepentingan dalam industri insurans kesihatan, hospital swasta, MoF, KKM, BNM, NGO dan ahli akademik.

“Sebanyak 10 prosiding dijadualkan untuk isu berkenaan dan ia merupakan sesi tertutup sehingga prosiding selesai,” katanya.

Tahun lalu, syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) sudah menyatakan persetujuan untuk mengambil langkah wajar termasuk meneliti semula cadangan menaikkan harga premium insurans perubatan yang dijangka meningkat sehingga 70 peratus tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, antara komitmen dipersetujui ITO adalah melaksanakan pelarasan semula harga premium insurans perubatan secara berperingkat, menawarkan caruman fleksibel, memberikan pilihan untuk pelan perkhidmatan berbeza dan menyediakan mekanisme penyelesaian yang lebih berkesan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya