JOHOR BAHRU: Penilaian tentang keberkesanan program Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) akan dibuat secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam bulan hingga setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, penilaian itu bertujuan memastikan program SRBJ yang dilaksanakan di empat buat sekolah bermula hari ini mencapai matlamatnya.
Menurutnya, seramai 585,220 pelajar termasuk 55,503 murid tahun satu dan 4,772 kanak-kanak prasekolah memulakan sesi persekolahan baharu 2025 di negeri ini.
“Sesi persekolahan yang bermula hari ini lancar termasuk di empat SRBJ. Mungkin selepas beberapa minggu kita akan dapat lihat pelaksanaannya bermula secara aktif.
“Program SRBJ bukan hanya melibatkan sesi pembelajaran, malah juga infrastruktur, iaitu bagaimana kita dapat tingkatkan penggunaan bengkel bagi memastikan pembelajaran lebih relevan dengan subjek sains dan teknologi.
“Pembelajarannya tidak akan mengganggu silibus pendidikan, sebaliknya terdapat penambahan pembelajaran sedikit. Selain libatkan murid, pelajar dan guru, program ini turut melibatkan ibu bapa,” katanya selepas meninjau sesi persekolahan pada hari pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang, di sini hari ini.
Aznan berkata, bagi menjayakan SRBJ, kerajaan negeri bakal menghantar kumpulan fasa kedua melibatkan seramai 90 guru sekolah ke Singapura pada 7 hingga 11 April depan.
“Kita akan terus menghantar guru-guru dan pentadbir sekolah ke Singapura untuk memastikan semua individu terlibat dengan program SRBJ mengikuti kursus terbabit bagi meningkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” jelasnya.
Selain SK Seri Kota Puteri 4, tiga lagi sekolah SRBJ adalah SK Tasek Utara, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2 dan SMK Tasek Utara. – UTUSAN