KUALA LUMPUR: Seorang peniaga pasar malam berputih mata selepas wang simpanan hampir setengah juta ringgit bersama isterinya lebur kerana ditipu sebuah firma pelaburan berdaftar di Seychelles dekat Afrika Timur.
Mangsa yang ingin dikenali sebagai SK berkata, dia terpedaya dengan pelaburan terbabit yang menjanjikan pulangan kira-kira tujuh peratus sebulan melalui pujukan rakannya.
“Rakan saya tunjukkan kepada segala testimoni dan semua bahan promosi, dia kata sendiri melabur dan mendapat untung, jadi dia mahu kongsi dengan kawan-kawan lain.
“Selepas mendengar penerangan rakan itu dan membuat penyelidikan berkenaan firma pelaburan berkenaan, saya mengambil keputusan melaburkan kesemua wang simpanan saya kumpul berpuluh tahun,”katanya dalam sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.
Mangsa berkata, selepas beberapa bulan pelaburan, dia dan beberapa pelabur lain terkejut apabila pelaburan mereka dalam bentuk mata wang asing (MHO) bertukar kepada mata wang kripto di samping diminta membuat tambahan bayaran.
Katanya, dia menolak dan meminta kembali duit pelaburan, namun diberikan pelbagai alasan oleh syarikat berkenaan yang dimiliki oleh seorang lelaki warga tempatan.
“Bila jadi macam ini saya sudah hilang arah, saya kehilangan kesemua simpanan hayat saya termasuk simpanan isteri saya yang merupakan suri rumah.
“Saya hubungi rakan saya, tetapi dia kata dia pun jadi mangsa dan putus di situ sahaja, jadi kalau tidak dapat wang semula pun saya harap polis dapat tangkap mereka ini supaya tiada lagi yang ditipu macam saya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya mewakili seramai 77 mangsa dengan kerugian mencecah RM48 juta yang terpedaya dengan firma yang menawarkan pelaburan Forex didalangi rakyat negara ini.
Jelasnya, sehingga kini status siasatan masih tidak jelas walaupun laporan polis telah dibuat mangsa.
“Kita gesa pihak polis untuk menyiasat penerima wang termasuk depositor, syarikat proksi, dan individu yang menerima deposit.
“Kes ini juga perlu dikategorikan sebagai sindiket jenayah terancang dan disiasat sebagai jenayah yang melibatkan pengubahan wang haram,” katanya. – UTUSAN