Peniaga nafi ugut bunuh lima remaja, lepas tembakan di tempat awam

Peniaga nafi ugut bunuh lima remaja, lepas tembakan di tempat awam

YUSOOFF Salleh dikawal anggota polis selepas berdepan pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap lima remaja dan melepaskan tembakan di tempat tidak dibenarkan di Mahkamah Majistret Kuala Nerang di Padang Terap, hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Peniaga kedai runcit yang juga penyelia sebuah ladang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap lima remaja dan melepaskan tembakan di tempat awam, bulan lalu.

Tertuduh, Yusooff Salleh, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Huda Idris.

Mengikut pertuduhan, Yusooff didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak menyebabkan kematian kepada lima remaja berusia 15 hingga 16 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan dan runcit di Kampung Bagan, Jalan Nami Naka di sini, pada pukul 11 pagi, 27 Januari lalu.

Yusooff didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua, dia di lokasi dan waktu yang sama didakwa telah melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis senapang patah Fair Premier bernombor siri 231317 di tempat yang tidak dibenarkan secara bertulis untuk digunakan sebagai padang tembak oleh ketua polis negeri.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien manakala tertuduh diwakili peguam, Murtazadi Amran dan Izwan Khudzir.

Semasa prosiding, Nasruna tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin dan jika dibenarkan perlu dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis terdekat serta dilarang mengganggu saksi-saksi sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Murtazadi memohon jaminan diberikan dengan alasan tertuduh belum dibuktikan bersalah selain menghidap pelbagai penyakit termasuk masih menerima rawatan selepas dibenarkan keluar wad, baru-baru ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 berserta syarat tambahan seperti diminta pihak pendakwaan dan menetapkan 4 Mac untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian itu, lelaki terbabit dipercayai memanggil remaja-remaja terbabit selepas mengesyaki mereka telah mencuri wang di kedai miliknya berjumlah RM5,000.

Dia dikatakan memaki hamun remaja-remaja terbabit dan menuduh mereka mencuri wang itu serta pada masa sama melepaskan empat das tembakan menggunakan senapang patah ke udara bertujuan untuk mengugut.

Polis menahan suspek sehari kemudian serta merampas senapang patah, kelongsong peluru dan kad senjata Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tertulis nama suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya