AMPANG: Seorang lelaki ditahan polis selepas didapati memiliki sepucuk pistol dan 30 butir peluru tanpa lesen sah di sebuah kondominium di Taman Cempaka di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, suspek yang berusia 34 tahun itu ditahan selepas anggota unit kereta peronda (MPV) menerima laporan mengenai pergaduhan antara lelaki itu dengan teman wanitanya, seorang warga Filipina pada pukul 4.10 petang.
Menurutnya, wanita tersebut memberitahu polis bahawa teman lelakinya memiliki senjata api sebelum menyerahkan sebuah plastik biru yang mengandungi pistol semi automatik serta satu kelopak peluru.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan sepucuk pistol bersama 30 butir peluru 9 milimeter (mm) dalam plastik berkenaan. Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya.
Jelas Mohd. Azam, siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perasaan cemburu wanita itu selepas mengetahui suspek menjalinkan hubungan dengan wanita lain.
Menurutnya, motif pemilikan senjata api tersebut masih dalam siasatan.
“Hasil ujian air kencing terhadap suspek dan teman wanitanya mendapati kedua-duanya negatif dadah. Suspek utama direman selama empat hari bermula 9 Februari hingga 12 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya. – UTUSAN