KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat kerugian RM2.56 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto yang menjanjikan pulangan luar biasa sehingga 50 peratus.
Mangsa berusia 42 tahun itu membuat laporan polis pada 7 Februari lalu selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan skim pelaburan UKVXE yang ditemuinya melalui iklan di laman Facebook pada Julai tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa tertarik dengan tawaran pulangan tinggi dan telah melakukan sebanyak 26 transaksi pembayaran ke 14 akaun bank atas nama syarikat serta perniagaan yang berbeza.
“Selepas membuat pembayaran, mangsa mendapati akaun pelaburannya menunjukkan keuntungan yang tinggi.
“Namun, apabila ingin membuat pengeluaran, dia diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dia menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis susulan tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan.
Dalam pada itu, setakat ini, pihaknya telah menerima sebanyak 44 laporan polis melibatkan skim pelaburan UKVXE dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM33.07 juta.
“Modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan memaparkan keuntungan palsu dalam laman web bagi meyakinkan pelabur bahawa mereka memperoleh pulangan yang tinggi.
“Hakikatnya, hampir kesemua skim pelaburan mata wang kripto yang dilaporkan adalah tidak wujud dan hanya digunakan sebagai umpan untuk memperdaya mangsa,” katanya.
Justeru, Ramli menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pulangan pelaburan yang terlalu lumayan.
“Sebarang skim pelaburan perlu disemak terlebih dahulu melalui portal rasmi seperti SemakMule CCID, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan untuk melabur,” tegasnya.
Tambahnya, orang ramai yang pernah menyertai skim UKVXE dinasihatkan agar segera menghentikan sebarang urusan pembayaran dan tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – UTUSAN