KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menafikan penglibatan pengacara dan pelakon sensasi, Rozita Che Wan dalam program Ramadan Cuit Cuit Che Ta musim kedua sebagai gimik untuk menarik penonton.
Kata Suhaimi, pemilihan Che Ta adalah berdasarkan kelayakannya dalam mengendalikan program televisyen dan bukan didorong oleh cerita – cerita sensasi yang dikaitkan dengan selebriti berkenaan.
“Setiap selebriti yang kami pilih adalah mereka yang bertanggungjawab dan tidak bermasalah.
“Kalau pun mereka bermasalah, tak ada isu, kalau mereka dapat atasi masalah itu kemudian menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.
“Kita semua melakukan kesilapan. Tapi masyarakat akan terima kalau kita perbaiki kesilapan kita.
“Ada masanya kita tersilap langkah. Tapi, kita perlu bantu membantu untuk menjadi lebih baik. Apa pun penglibatan Che Ta dalam program tersebut bukan gimik yang diada-adakan untuk menarik penonton,” katanya.
Suhaimi berkata demikian selepas sidang media Puasa! Raya! RTM 2025 di Angkasapuri, di sini hari ini.
Rozita, 51, sebelum ini dihujani kecaman kerana gagal melunaskan hutang hampir RM1 juta kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Pelaksanaan penghakiman terhadapnya bagaimanapun ditangguhkan apabila dia berjaya melunaskan RM550,000, iaitu sebahagian daripada jumlah penuh pinjaman Mara yang dibuatnya.
Kata Suhaimi lagi, pihaknya tidak akan mengambil kesempatan dengan menggunakan isu-isu sensasi selebriti sebagai gimik untuk menarik penonton.
“Itu adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan akan memakan diri.
“Dan untuk pengetahuan umum, RTM juga mengetengahkan pengacara-pengacara berbeza, pelbagai latar belakang, muka-muka baharu, orang-orang lama dan sebagainya.
“Ini membuktikan RTM tidaklah menjemput pengacara tertentu sahaja,” kongsinya.
Cuit-Cuit Che Ta musim kedua bakal ditayangkan pukul 6 petang, setiap hari mulai 6 Mac ini.