Pengharaman penuh vape bukan penyelesaian - Utusan Malaysia

Pengharaman penuh vape bukan penyelesaian

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengusaha vape menuntut kerajaan meneliti cadangan mengharamkan rokok elektronik, sekali gus mempertimbangkan nasib mereka yang beroperasi secara sah dan menepati kualiti.

Pengarah Nanostix Innovations Sdn. Bhd., Shahabudeen Jalil berkata, pengharaman penuh industri tersebut tidak dilihat sebagai jalan penyelesaian yang terbaik seperti penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam cecair vape.

Katanya, isu tersebut sebaliknya perlu ditangani dengan lebih terkawal seperti penguatkuasaan lemah sehingga penjualan berleluasa cecair vape dibancuh pihak tidak dikenali, dihasilkan tanpa pemantauan, dan diseludup ke Malaysia tanpa membayar cukai.

“Produk ini dijual secara terbuka tanpa pemantauan, membahayakan pengguna dan menjejaskan industri tempatan yang beroperasi secara sah.

“Syarikat tempatan perlu membayar cukai dan mematuhi peraturan ketat, tetapi produk import berbahaya ini dibiarkan berleluasa tanpa sebarang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Februari lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedia meneliti semula pengharaman vape secara menyeluruh, selepas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin memberitahu agak sukar untuk kerajaan membuat keputusan drastik mengharamkan vape.

Sebaliknya, Shamsul Iskandar melihat yang lebih penting pada ketika ini adalah aspek kawalan, khususnya bagaimana pemain industri vape mengawal ‘ekosistem’ perniagaan mereka supaya tidak dicemari penjualan cecair vape yang dicampur bahan terlarang terutama dadah.

Mengulas lanjut, Shahabudeen turut berkata, pengharaman terus industri vape tidak adil kepada pengusaha tempatan yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi.

Katanya, Nanostix membayar lebih RM60 juta cukai dan duti eksais kepada kerajaan pada tahun lalu, selain membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
“Sebaliknya, produk import yang tidak dikawal dan produk haram ini tidak memberikan sumbangan kewangan kepada kerajaan.

“Mereka tidak membayar cukai, tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan produk dan dibiarkan memasuki pasaran secara haram,” jelasnya.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mengharamkan sepenuhnya pengimportan cecair vape dari luar negara, pada masa sama meningkatkan penguatkuasaan di setiap premis jualan vape.

“Bukannya menutup industri tempatan yang sah dan terkawal.

“Nanostix dan industri tempatan sedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan pasaran vape lebih selamat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya