SEREMBAN: Kesalahan melibatkan tali pinggang keledar menjadi kesalahan utama dikesan pada operas khas sempena perayaan Tahun Baru Cina yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di negeri ini.
Lebih membimbangkan, kesalahan itu termasuklah penggunaan alat pencangkuk tali pinggang keledar palsu atau ‘dummy buckle’ yang jelas boleh mengundang bahaya ketika di jalan raya.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, menerusi operasi yang dilakukan, pihaknya mendapati penggunaan alat tersebut semakin menjadi trend dan dipakai secara meluas dalam kalangan pemilik kenderaan.
“Rata-rata orang kena saman memberi alasan penggunaan alat itu adalah bagi menghentikan bunyi penggera amaran kenderaan selain alasan terlupa dan tidak selesa, ini secara terang-terangan boleh mengundang bahaya dan maut di jalan raya.
“Berikutan itu, tindakan saman dikenakan terhadap mereka dan JPJ akan terus menjalankan advokasi dan menasihatkan agar pemandu mematuhi peraturan sepatutnya demi keselamatan di jalan raya,” katanya pada sidang akhbar Penutup Operasi Tahun Bharu Cina 2025 di Plaza Tol Senawang di sini, malam tadi.
Sementara itu, katanya, dalam tempoh operasi yang dilaksanakan, sejumlah 2,508 buah kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Sebanyak 1,863 saman turut dikeluarkan terhadap penunggang motosikal dan 20 buah motosikal juga telah disita.
“Sejumlah 57 saman juga dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan barangan kerana gagal mematuhi tempoh larangan pemanduan yang ditetapkan dalam tempoh tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Hanif Yusabra memberitahu, pihaknya turut membuat penyamaran sebagai penumpang bas dan sebanyak 131 saman dan 12 notis telah dikeluarkan.
“Sebanyak 31 kesalahan seperti memandu di lorong kanan secara berterusan telah direkodkan selain 12 kesalahan membabitkan kesalahan mengambil dan menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan,” katanya.-UTUSAN