MELAKA: Seorang pengarah syarikat direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM78,000 bagi kerja-kerja pembekalan alatan sukan badminton, dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga 15 Februari ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap suspek lelaki berusia 44 tahun itu.
Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9.05 pagi tadi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek ditahan kira-kira pukul 3.30 petang semalam selepas hadir di Pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, suspek seorang pengarah dan pengurus jualan di sebuah syarikat swasta di Melaka disyaki mengemukakan dokumen yang mempunyai butir matan palsu kepada seorang akauntan di salah sebuah syarikat pembekalan alatan sukan berjumlah RM78,812.60 sedangkan pembekalan tidak dilaksanakan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN