Pengarah syarikat didakwa pecah amanah lebih RM176,000

Pengarah syarikat didakwa pecah amanah lebih RM176,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM176,000, tiga tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, U. Yogeshwaran, 46, didakwa menyalahgunakan duit syarikat Asas Kukuh Security Services (M) Sdn. Bhd. berjumlah RM176,117.55 di antara 7 dan 13 Mei 2022 di Bank Muamalat Malaysia Berhad, Menara Bumiputra di sini.

Tertuduh didakwa menyalah gunakan wang tersebut bagi tujuan pembayaran ubah suai rumah, bayaran ansuran rumah, bayaran ansuran pinjaman syarikat miliknya sendiri dan bayaran Penghakiman Saman Sivil atas namanya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun atau tidak melebihi 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Syazwani Mohamad Sobri mencadangkan Yogeshwaran diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwa turut memohon tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di Pejabat SPRM, Putrajaya satu bulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam bela tertuduh, V. Muniandy tidak membantah dan bersetuju dengan syarat yang dikenakan.

Hakim Rosli Ahmad kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 untuk kesemua lima pertuduhan beserta syarat tambahan sebagaimana yang dimohon oleh pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 April ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya