SEREMBAN: Penganjur bazar Ramadan di Negeri Sembilan bakal disenarai hitam sekiranya mereka dikesan membenarkan warga asing menjadi peniaga atau bekerja di lokasi perniagaan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar menegaskan, larangan berkenaan adalah salah satu syarat semasa permohonan lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Syarat berkenaan mesti dipatuhi dan tidak ada warga asing sebagai pekerja atau peniaga di mana-mana bazar Ramadan. Jika ada saya akan meminta pihak PBT untuk mengambil tindakan segera termasuk menyita semua barangan.
” Selain daripada itu, penganjur juga akan disenarai hitam dan tidak lagi boleh memohon untuk menganjurkan mana-mana bazar Ramadan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, tahun lepas beberapa penganjur telah dikesan membenarkan beberapa warga asing berniaga di bazar Ramadan dan tahun ini tindakan lebih tegas akan diambil dengan kerjasama beberapa agensi lain.
Selain itu, Arul turut mengingatkan kepada peniaga dan penganjur di bazar Ramadan agar tidak menyewakan semula tapak gerai kepada pihak ketiga dan pada harga lebih tinggi semata-mata untuk meraih keuntungan ‘atas angin’
“Sesiapa yang mohon gerai di bazar Ramadan sahaja boleh berniaga di sana berdasarkan kepada permohonan lesen PBT yang diterima.
“Jangan pandai-pandai mohon dengan penganjur dan selepas itu jual tapak itu dengan harga yang lebih tinggi. Ini kerana harga sewa tapak adalah berdasarkan kepada kebenaran atau kelulusan yang diberikan oleh PBT sahaja.
“Jika ada pihak berbuat demikian, PBT akan mengambil tindakan yang lebih tegas. Bazar Ramadan adalah untuk membolehkan peniaga mendapatkan pendapatan tambahan dan bukannya mana-mana orang tengah buat untung atas angin,” katanya. – UTUSAN