PORT DICKSON: Penganjur bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini dinasihatkan untuk tidak terlalu menekan peniaga dengan meletakkan harga sewaan tapak yang tinggi.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jika harga sewaan yang tinggi dikenakan ia hanya akan membebankan peniaga yang kemudiannya memberi kesan terhadap harga jualan yang terpaksa pula ditanggung pembeli.
Pengurusan kedua-dua bazar tersebut ada yang telah diserahkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau kumpulan tertentu yang kemudiannya menyelaraskan permohonan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Perbandaran Seremban (MBS).
Menurut beliau, keadaan tersebut bukan hanya akan membebankan peniaga sekali gus turut memberi kesan terhadap harga jualan yang mungkin terpaksa ditanggung pembeli.
“Kita sedia maklum biasanya di Negeri Sembilan ada NGO atau kumpulan yang akan menyelaraskan (penganjur bazar), mereka akan mohon dari PBT.
“Apa yang NGO uruskan, sampah, pengurusan api, air, kebersihan, sewa tapak dan seliaan khemah.
“Jangan tekan peniaga, kerajaan negeri tidak terlibat. Penganjur perlu beri peluang kepada semua peniaga untuk berniaga dan bincanglah elok-elok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pasa Majlis Perasmian Agropoint Bukit Pelandok, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan peniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri untuk sentiasa menjaga kebersihan atau berkemungkinan akan disaman serta kehilangan deposit sekiranya mengabaikan aspek berkenaan.
“Saya sudah beri amaran kepada mereka, (terutamanya), jangan tinggalkan sampah. Subuh-subuh nak raya sampah bertebaran, kita akan saman mereka dan ambil deposit,” katanya. – UTUSAN