PETALING JAYA: Kesesakan hospital kerajaan disebabkan kekurangan pengambilan doktor atau jururawat dalam sektor kesihatan.
Laporan Tahunan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) pada 2022 dan 2023 menunjukkan penurunan dalam jumlah pendaftaran sementara untuk beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2017, jumlah pendaftaran adalah 6,147 pelajar, namun ia menurun kepada 3,867 pelajar pada 2021, 3,857 pelajar (2022), dan terus berkurang kepada 3,247 pelajar (2023).
Jumlah pendaftaran daripada institusi dalam negara juga mencatatkan penurunan iaitu 3,336 pelajar pada 2020, 3,054 pelajar (2021), 3,167 pelajar (2022) dan 2,759 pelajar (2023).
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, penurunan itu lebih ketara dalam kalangan graduan luar negara, di mana jumlah pendaftaran dari luar negara menurun daripada 1,882 graduan pada 2020 kepada 813 graduan (2021), 690 graduan (2022) dan seterusnya 488 (2023).
Katanya, terdapat beberapa faktor berlakunya penurunan minat pelajar terhadap bidang perubatan, antaranya adalah persepsi negatif terhadap kerjaya doktor.
“Pertama, ketidakpastian dalam sistem lantikan tetap dan penyerapan doktor kontrak, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan graduan dan ibu bapa.
“Selain itu, laporan kes buli dalam Sistem Kesihatan juga menjadi faktor yang mana isu ini mendapat liputan meluas sekaligus menjejaskan persepsi terhadap suasana kerja dalam bidang perubatan,” katanya.
Isu berkaitan elaun dan beban kerja juga memberi impak yang antara lain membabitkan perubahan dalam skim elaun seperti isu Waktu Bekerja Berpatutan (WBB), yang turut mempengaruhi daya tarikan kerjaya ini.
Dr. Jamalludin berkata, walaupun isu berkenaan mungkin tidak sepenuhnya mencerminkan keadaan sebenar, namun persepsi yang terbentuk, boleh menjejaskan minat golongan muda untuk menceburi bidang perubatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan hospital kerajaan semakin sesak apabila pesakit kian bertambah, manakala doktor dan jururawat berkurangan dan situasi berkenaan menyebabkan ramai pesakit terpaksa menunggu lama sehingga 15 jam bagi mendapatkan rawatan.
Mengulas lanjut Dr. Jamalludin berkata, penghijrahan graduan perubatan ke luar negara, terutamanya ke Singapura, juga menjadi cabaran apabila negara berkenaan menawarkan pakej gaji lebih menarik dengan persekitaran kerja lebih kondusif, menyebabkan ramai doktor Malaysia memilih untuk berkhidmat di sana.
“Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi, tetapi turut menjejaskan usaha negara dalam memastikan sistem kesihatan mampan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau menegaskan isu tenaga kerja kesihatan tidak boleh dilihat hanya daripada perspektif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semata-mata, sebaliknya, memerlukan pendekatan menyeluruh daripada kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
“Perancangan tenaga kerja kesihatan perlu mengambil kira keperluan jangka panjang negara termasuk meneliti strategi untuk memastikan Malaysia terus mempunyai jumlah doktor yang mencukupi bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat,” katanya. – UTUSAN