KUALA LUMPUR: “Kematian yang sangat dicemburui.”
Demikian reaksi salah seorang pengguna media sosial terhadap berita pemergian isteri usahawan Abdul Ridzuan Abdul Mutalib atau Ridzokumura, Akiko Okumura yang meninggal dunia hari ini.
Berita duka itu disampaikan Abdul Ridzuan menerusi Instagram sekitar pagi tadi.
”Al-Fatihah buat arwah isteri saya, Akiko Okumura, telah pergi meninggalkan saya dan anak saya selamanya,” tulisnya.
Selain suami tercinta, arwah turut meninggalkan anak lelaki, Sky Taizo Okumura.
Pemergian Akiko turut meninggalkan kesan buat pelakon, Zarina Zainuddin yang turut berkongsi khabar duka itu di media sosialnya.
”Akiko Okumura isteri pakcik saya Ridz Okumura telah meninggal dunia. Semoga Allah tempatkan arwah di kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” kongsinya.
Kehilangan Akiko turut dirasai ramai netizen yang sebelum ini sering mengikuti perkongsian arwah di media sosial terutamanya juadah sahur dan berbuka yang disediakannya setiap kali menyambut Ramadan.
”Tahun lepas selalu tengok video arwah masakkan sahur dan buka puasa untuk suami dan anaknya,” tulis seorang netizen di Instagram- UTUSAN