BESUT: Projek Sejati Madani dijalankan penduduk Taman Pelagat di sini, membawa pulangan hasil apabila berjaya menuai 350 kilogram (kg) ikan keli Afrika dalam tempoh dua minggu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Taman Pelagat, Ghazali Che Noh berkata, ikan keli yang mula diternak sejak November tahun lalu telah mencapai tahap matang dan dituai sejak pertengahan bulan lalu.
Katanya, melalui projek perintis yang dijalankan itu, sebanyak 10,000 ekor benih ikan keli Afrika dimasukkan ke dalam 10 buah kolam kanvas.
“Ikan-ikan ini membesar dan dituai secara berperingkat. Selepas tempoh dua bulan, ikan keli tersebut dipilih mengikut gred sebelum dipasarkan.
“Sekarang ini ia dijual mengikut berat lima ekor bagi satu kg, ia kerana saiz tersebut banyak menerima permintaan daripada peniaga-peniaga kedai makan di sekitar Besut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Ghazali, projek yang memperoleh peruntukan dana bernilai RM100,000 menerusi Program Sejahtera Komuniti Madani itu diuruskan oleh penduduk dari dua buah taman dan satu kampung iaitu Taman Pelagat, Taman Desa Saujana dan Kampung Kubang Siam.
Menurutnya, ternakan keli itu diuruskan oleh ahli jawatan kuasa yang dipilih dan penduduk kampung mengikut giliran.
“Ternakan ikan keli ini mempunyai potensi tinggi dan mudah dipasarkan secara runcit serta borong. Kami juga menawarkan khidmat perkongsian ilmu menternak keli kepada penduduk setempat untuk menggalakkan mereka menternak ikan ini di rumah masing-masing meskipun dalam kuantiti kecil,” katanya.
Jelasnya, inisiatif itu juga dapat membantu penduduk kampung menjana pendapatan sampingan.
“Setakat ini kami memperoleh pendapatan lebih RM3,000 dalam tempoh dua minggu tuaian. Sebahagian dari jumlah itu dimasukkan ke tabung kampung untuk membantu golongan penduduk yang memerlukan termasuk kumpulan asnaf dan fakir miskin,” katanya. – UTUSAN