BUTTERWORTH : Kira-kira 20.5 peratus penduduk dewasa di Pulau Pinang dikesan menghidap diabetes iaitu 4.9 peratus lebih tinggi daripada kadar prevalens di peringkat nasional sebanyak 15.6 peratus.
Perkara itu didedahkan hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 iaitu bagi kategori penyakit tidak berjangkit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, secara puratanya ketika ini, setiap satu daripada lima orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes.
Bagaimanapun katanya, agak membimbangkan kerana kebanyakan daripada mereka tidak menyedari keadaan itu sekali gus meningkatkan risiko menghadapi komplikasi kesihatan yang lebih serius pada masa depan.
Beliau berkata, selain diabetes, masalah berat badan berlebihan di Pulau Pinang juga lebih tinggi iaitu 56.5 peratus berbanding 54.4 peratus pada kadar nasional.
“Selain itu, setiap satu daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai paras kolesterol dalam darah yang tinggi iaitu kira-kira 33.3 peratus berbanding 37.4 peratus di Pulau Pinang.
“Satu daripada tiga dan seorang rakyat Malaysia iaitu 29.2 peratus pula menghidapi darah tinggi atau hipertensi dan kadar di peringkat nasional itu jauh lebih rendah berbanding di Pulau Pinang iaitu sebanyak 35.4 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Seberang Perai Utara (SPU) di Klinik Kesihatan Sungai Dua di sini, hari ini.
Wellness Hub SPU yang menelan kos lebih RM1 juta itu merupakan salah satu daripada 33 Wellness Hub yang dibangunkan di seluruh negara ketika ini.
Sementara itu, ketika sidang akhbar, beliau berkata, memandangkan sambutan baik yang diterima oleh Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap penubuhan Wellness Hub itu, pihaknya bersetuju untuk membangunkan serta menaik taraf sembilan lagi Wellness Hub pada tahun ini.
“Kesemua sembilan Wellness Hub ini dijangka menelan kos sehingga RM7 juta iaitu kira-kira RM800,000 hingga RM1 juta bagi setiap satu.
“Lokasinya sudah kita kenal pasti iaitu di kedua-dua kawasan sama ada bandar atau luar. Ini juga selari dengan hasrat KKM untuk mencapai matlamat ‘satu daerah satu Wellness Hub’ pada masa depan,” katanya.-UTUSAN