GUA MUSANG: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh di sini memohon kerajaan membina sebuah balai bomba bagi mempercepat operasi bantuan keselamatan sekiranya berlaku kebakaran dan kecemasan.
Menurut penduduk, kemudahan balai bomba sangat diperlukan kerana balai bomba dan penyelamat (BBP) yang terletak di bandar Gua Musang memerlukan masa hampir sejam untuk pasukan penyelamat tiba jika berlaku insiden.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Relai Utara, Mohd. Sopian Che Seman berkata, kedudukan BBP yang berjarak lebih 40 kilometer dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1 menyukarkan kerja-kerja penyelamatan dilakukan anggota penyelamat.
Katanya, sebelum ini bantuan kes kebakaran diterima agak lambat sehingga mereka menanggung kerugian setiap kali berlakunya tragedi.
“Kawasan DUN Paloh sangat memerlukan kemudahan balai bomba kerana jika berlaku kebakaran, rumah penduduk tidak dapat diselamatkan dan mengalami kerugian besar memandangkan anggota penyelamat mengambil masa yang agak lama untuk sampai.
“Jadi kita berharap kerajaan mempercepat pembinaan balai bomba di kawasan Felda Chiku atau RKT Kesedar Paloh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang penduduk, Mazuan Mohd. Noor, 42, berkata, sebelum ini dia ada mendengar tentang cadangan pembinaan balai bomba di kawasan Felda Chiku 3, namun sehingga kini belum direalisasikan.
Katanya, kekerapan kes kecemasan di DUN Paloh menyebabkan sebuah balai bomba di kawasan itu menjadi keperluan mendesak.
“Pembinaan balai bomba merupakan keperluan penting penduduk kerana kawasan perkampungan di DUN Paloh terletak di pinggir bandar dan berhampiran laluan utama Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
“Selain kes kebakaran di sini juga kerap berlaku kemalangan maut dan kebanyakan mangsa yang tersepit tidak dapat diselamatkan kerana kedudukan balai bomba yang jauh,“ katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim juga berharap kerajaan menyelesaikan masalah keperluan balai bomba di DUN Paloh.
Katanya, sebelum ini beliau dimaklumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam proses mendapatkan tender.
“Tapak balai bomba telah dikenal pasti di Felda Chiku 3 dan difahamkan projek berkenaan dalam proses perolehan untuk tender.
“Saya sudah tiga kali membangkitkan isu pembinaan balai bomba untuk rakyat DUN Paloh semasa Sidang Parlimen. Saya berharap agar pembinaan itu dapat disegerakan demi kesejahteraan hidup rakyat di DUN Paloh,” katanya. – UTUSAN