PETALING JAYA: Penduduk Malaysia dianggarkan 34.2 juta dengan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 1.3 peratus pada suku tahun keempat 2024 berbanding 33.7 juta atau 2.0 peratus pada suku keempat 2023, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kadar pertumbuhan penduduk menurun seiring dengan penurunan bilangan kelahiran hidup.
“Jumlah penduduk terdiri daripada 30.8 juta (90.1 peratus) warganegara dan 3.4 juta (9.9 peratus) bukan warganegara.
“Penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta daripada 17.7 juta pada suku tahun keempat 2023 dan penduduk wanita meningkat kepada 16.2 juta daripada 16.0 juta dalam tempoh yang sama.
“Nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan manakala nisbah jantina bagi warganegara ialah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
“Komposisi penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan penduduk tua (65 tahun dan lebih), masing-masing meningkat daripada 23.6 juta (70.0 peratus) dan 2.5 juta (7.6 peratus) kepada 24.0 juta (70.2 peratus) dan 2.6 juta (7.7 peratus) pada suku tahun keempat 2024,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Uzir Mahidin berkata, penduduk umur muda (0 hingga 14 tahun) merekodkan penurunan daripada 22.4 peratus kepada 22.2 peratus.
“Melayu menyumbang 58.1 peratus daripada jumlah penduduk pada suku tahun keempat 2024 berbanding 58 peratus pada suku sama tahun sebelum.
“Penduduk etnik India menurun kepada 6.5 peratus berbanding 6.6 peratus, sementara bumiputera lain dan etnik Cina kekal tidak berubah iaitu masing-masing dengan 12.3 peratus dan 22.4 peratus pada tempoh yang sama.
“Bumiputera lain terdiri daripada bumiputera Sabah, bumiputera Sarawak dan bumiputera Semenanjung Malaysia lain,” katanya. – UTUSAN