Penduduk bantah cadangan bina asrama pekerja asing

Penduduk bantah cadangan bina asrama pekerja asing

LEBIH 50 penduduk berhimpun secara aman bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan pembinaan asrama pekerja asing berhampiran Taman Merpati Indah dan kawasan sekitarnya di Bukit Tambun, Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN : Lebih 50 penduduk Taman Merpati Indah dan kawasan sekitarnya di sini hari ini berhimpun secara aman bagi menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan pembinaan asrama pekerja asing di kawasan itu.

Wakil penduduk, Yusmin Mohamed Yusoff berkata, mengikut cadangan asal yang dikemukakan oleh pemaju, sebuah pangsapuri servis akan dibangunkan di lokasi terbabit sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, pemaju secara tiba-tiba mengubah pelan asal dan berhasrat membina sebuah asrama pekerja asing pula yang dikatakan boleh menempatkan sehingga hampir 5,000 pekerja pada satu-satu masa.

“Kami hanya mengetahui mengenai rancangan pembinaan asrama pekerja asing itu kira-kira lima atau enam bulan lepas dan tidak bersetuju langsung andai projek ini diteruskan.

“Antara sebab kami membantah ialah, pembangunan asrama pekerja asing itu akan menyebabkan nilai hartanah di kawasan ini jatuh mendadak iaitu sehingga 50 peratus sekaligus menghilangkan keyakinan pembeli.

“Selain itu, kehadiran mereka (pekerja asing) juga dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar serta timbul masalah sosial dan isu keselamatan memandangkan jarak tapak projek terlalu dekat dengan kawasan kediaman iaitu tidak sampai 100 meter.

“Pada masa yang sama, masalah kesesakan jalan raya juga pasti akan berlaku apabila bas-bas kilang akan keluar masuk ke kawasan ini hampir setiap hari selepas ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengulas lanjut, Yusmin yang juga merupakan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Merpati Indah berkata, ketika ini, terdapat kira-kira 400 keluarga yang mendiami kawasan itu termasuk penduduk di sekitar taman perumahan berkenaan.

“Kami difahamkan, pihak MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) masih belum meluluskan cadangan itu setakat ini dan sesi dialog bersama penduduk juga masih belum diadakan. Harap-harap tidak jadilah,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Mohd. Johari Ishak, 46, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu pemaju bercadang untuk membangunkan asrama pekerja asing di kawasan itu.

“Mengapa pekerja-pekerja asing itu tidak ditempatkan di asrama sedia ada sahaja seperti di Bukit Minyak yang terletak tidak jauh dari sini?

“Kalau tanya pandangan saya, mereka saya tak bersetujulah dengan kehadiran mereka. Macam-macam masalah boleh berlaku selepas ini,” katanya yang tinggal di situ sejak 10 tahun yang lalu.

Bagi Sophia Low, 42, pula, dia bersama kumpulan penduduk yang lain akan terus menentang cadangan pembinaan asrama pekerja asing itu andai ia diteruskan juga oleh pihak pemaju selepas ini.

“Banyak keburukan daripada kebaikan. Kita (rakyat) sudah dibebani pelbagai masalah. Nanti kena hadap masalah baharu pula di sini (asrama pekerja asing yang terletak berdekatan kawasan kediaman penduduk),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya