REMBAU: Penantian seorang isteri terhadap mesej dari suaminya berakhir dengan kesedihan apabila mengetahui suaminya itu maut dalam nahas di Kilometer 232.1, Lebuhraya Utara-Selatan, (arah Utara), di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian itu, seorang mekanik, Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli, 35, beralamat di Bandar Sungai Buaya Rawang, Selangor maut ditempat kejadian selepas motosikal yang ditungganginya terkena tayar ganti sebuah kereta pacuan empat roda yang tercampak dari arah bertentangan selepas terbabit nahas dengan tiga buah kenderaan lain.
Menurut isteri mangsa, Nur Izzaty Abd. Jalil, 35, ketika kejadian, arwah suaminya itu dalam perjalanan pulang ke Johor untuk bekerja di Singapura setelah bercuti kira-kira dua minggu sempena Tahun Baru Cina.
“Selalunya, suami akan sampai dalam tempoh dua jam setengah dari Sungai Buaya ke Johor. Dia bergerak pukul 10.30 malam dan kebiasaannya, dia akan hantar pesanan sudah selamat sampai ke destinasi.
“Saya tunggu mesej suami sehinggalah saya hantar mesej kepadanya pada pukul 2.17 pagi, tapi tiada balasan. Biasanya waktu itu suami sudah sampai di Johor. Saya tunggu balasannya sehingga terlelap.
“Kira-kira pukul 5 pagi, bapa mentua saya yang tinggal tidak jauh dari rumah datang dan memaklumkan suami terbabit dalam kemalangan maut. Saya kemudian segera ikut bapa mentua ke Hospital Rembau,” katanya ketika ditemui pemberita, di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, hari ini.
Katanya yang mempunyai tiga anak kami yang berusia empat hingga tujuh tahun, dia dan suami merupakan pasangan jarak jauh kerana suaminya menetap di Johor dan bekerja di Singapura, manakala dia menetap di Rawang, Selangor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, nahas membabitkan lima buah kenderaan iaitu sebuah bas, sebuah lori membawa muatan habuk kayu mampat, sebuah kereta pacuan empat roda, sebuah kereta mewah dan sebuah motosikal.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika bas dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Sungai Besi, Kuala Lumpur. Apabila sampai di lokasi, bas telah melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.
“Pelanggaran telah menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan dan kemudiannya kedua-dua buah kereta yang berada di belakang laluan yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang lori.
“Selepas pelanggaran tersebut, tayar ganti kereta pacuan empat roda telah tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh motosikal yang sedang bergerak di lorong kecemasan,” katanya. –UTUSAN