Penang berpesta gol benam Kelantan 6-1

Penang berpesta gol benam Kelantan 6-1 di Kota Bharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terus merekodkan kekalahan apabila dibenam dengan keputusan 1-6 oleh Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam ini,

Pada perlawanan itu, Penang memecah kebuntuan jaringan minit ke-29  hasil bicycle kick Rodrigo Da Silva selepas menerima sepakan penjuru daripada rakan sepasukannya. Jaringan tersebut menaikkan semangat anak didik Wan Rohaimin Wan Daud untuk terus menggempur kubu tuan rumah bagi melebarkan jurang jaringan.

Namun, KDN mengejutkan skuad Harimau Kumbang apabila  menyamakan kedudukan pada minit ke-34 hasil rembatan leret Muhammad Shahir Ab. Rashid yang masuk tepat ke penjuru kanan gawang pelawat.

Pemain kelahiran Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat memastikan Penang kembali mendahului menerusi rembatannya  pada minit ke-42 sebelum kedua-dua pasukan kembali ke bilik persalinan dengan kedudukan 1-2.

Bermula babak kedua, Penang tampil lebih berkeyakinan dan menguasai sebahagian besar perlawanan. Bagaimanapun pasukan tuan rumah dikendalikan Penolong Ketua Jurulatih, Kamaruddin Muhammad  menunjukkan semangat enggan mengalah dan terus berusaha mencari gol penyamaan bagi kembali mengimbangi perlawanan.

Namun, skuad Harimau Kumbang menjarakkan jurang jaringan hasil rembatan Rodrigo Da Silva yang menewaskan Mohammad Fikri Che Soh pada minit ke-67 untuk gol ketiga pelawat, sekali gus menambah koleksi jaringan peribadinya.

Memasuki minit ke-82, Penang dihadiahkan sepakan penalti setelah semakan video pembantu pengadil (VAR) mendapati berlaku kekasaran dalam kawasan kotak penalti tuan rumah. Peluang keemasan itu tidak disia-siakan oleh Rodrigo Da Silva apabila dengan mudah menewaskan Mohammad Fikri bagi gol keempat pelawat sekali gus melengkapkan jaringan hatriknya.

Penang terus menambah derita KDN melalui dua jaringan pada masa kecederaan hasil jaringan Dylan Christopher Charles dan jaringan keempat Rodrigo Da Silva bagi memuktamadkan kemenangan bergaya pelawat dengan keputusan 1-6.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya