Pemuda UMNO Perak lapor polis individu hina MB Perak - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Perak lapor polis individu hina MB Perak

NAZIRUL Jamaluddin (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pekan Baru, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pemuda UMNO Perak hari ini membuat laporan polis berhubung satu komen di media sosial yang disifatkan biadap dan menghina Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Komen dalam Facebook itu dipercayai dihantar seorang aktivis daripada satu parti politik yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Saarani menerusi laporan berita bertajuk ‘JAIPk diminta siasat khatib tidak baca khutbah Jumaat disediakan’.

Individu terbabit telah meninggalkan komen berbunyi ‘ketua barua kafir harbi’ pada pautan berita berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Nazirul Jamaluddin berkata, tuduhan kafir harbi yang digunakan individu terbabit adalah fitnah yang sangat berat kerana istilah itu merujuk kepada orang bukan Islam yang memusuhi dan memerangi umat Islam.

Katanya, gelaran itu juga disifatkan cukup berat apabila dilemparkan kepada seorang pemimpin seagama yang bertanggungjawab menjaga portfolio agama.

“Kenyataan individu itu merupakan dakwaan serius yang tidak berasas selain bertujuan mencemarkan nama baik Menteri Besar sebagai seorang pemimpin Muslim.

“Selain itu, ia juga boleh menimbulkan salah faham sehingga membawa kepada perpecahan umat memandangkan gelaran kafir harbi itu membawa maksud yang amat berat kerana dianggap sebagai golongan yang memusuhi agama Islam.

“Tindakan individu berkenaan seolah-olah menggambarkan Menteri Besar sebagai seorang pemimpin muslim yang sedang memerangi agama Islam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Pekan Baru, di sini hari ini.

Menurut beliau, kenyataan keterlaluan itu boleh mencetuskan kebencian dan kegusaran awam selain tindakan ekstrem oleh golongan tertentu yang percaya kepada dakwaan berkenaan.

“Kenyataan biadab itu bukan sahaja seperti mempersoalkan kredibiliti dan niat JAIPk dalam mengelola topik khutbah Jumaat malah menghasut masyarakat supaya mempertikaikan kuasa institusi agama yang dinaungi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Malah, Sultan Nazrin dalam titah sempena Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam menegaskan bahawa perbuatan khatib yang enggan membaca teks khutbah yang disediakan oleh JAIPk sebagai keterlaluan dan tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Tambah Nazirul, pihaknya memohon siasatan dijalankan dan tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit bagi memastikan tindakan melontarkan fitnah dan memberi gelaran dan penghinaan kepada pemimpin tidak berulang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya