BUTTERWORTH : Seorang pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan iaitu mengemukakan dokumen geran latihan mengandungi butir matan palsu bernilai RM39,692 kepada ejen Human Resource Development Corporation (HRDCorp) empat tahun lalu.
Tertuduh, K. Madervan, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku pemilik Syarikat MK Talent Development and Management Consultancy telah memberikan suatu dokumen iaitu geran latihan pekerja berjumlah RM39,692 kepada beberapa ejen HRDCorp dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya sedangkan latihan tersebut tidak dilaksanakan.
Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit di pejabat syarikatnya di Taman Bukit Kechil, Bukit Mertajam pada 16 dan 27 Jun 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Ashok Atimulan.
Ketika prosiding, Muaz Ahmad menawarkan jaminan RM30,000 namun Ashok memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya kini hanya tutor sambilan dengan pendapatan RM2,000 sebulan selain mempunyai tanggungan anak di universiti.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 selain menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.
Kes akan disebut semula pada 18 April depan.