KUALA NERUS: Fenomena ombak besar setinggi 2.4 hingga 2.8 meter menyebabkan pemilik banglo berwarna biru bernilai RM600,000 di sini, kembali resah kerana sebahagian tanah berhampiran pagar rumahnya runtuh.
Mohd Yazit Idris, 66, berkata, ombak besar berlaku selepas pukul 5 petang semalam dan berlarutan hingga 5 pagi ini.
“Bila saya bangun tidur, rasa lega tengok bahagian dapur masih selamat namun terkejut melihat tanah di bahagian pagar di halaman rumah pula yang runtuh.
“Saya difahamkan ombak besar berlaku untuk dua hari lagi, jadi saya mohon doa semua pihak untuk rumah ini dapat bertahan dalam berdepan situasi cemas ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Batu Rakit di sini, hari ini.
Menurutnya, bahagian dapur rumahnya yang sebelum ini seolah-olah ‘tergantung’ akibat hakisan ombak telah pun selamat apabila pembinaan benteng pemecah ombak siap kira-kira tiga minggu lalu.
“Anak syarikat kerajaan negeri ada menyumbang batu-batu besar untuk dibuat benteng itu sebagai langkah pencegahan sementara.
“Kemudian, saya gunakan wang sedekah kawan dan saudara-mara untuk beli sebanyak 33 lori tanah bagi menambak bahagian yang runtuh akibat hakisan.
“Setakat ini, bahagian belakang rumah agak kukuh namun tanah di tepi pagar pula yang menjadi kerisauan,” katanya. – UTUSAN