Pemilihan PKR tidak sebabkan perpecahan - Taufiq

Pemilihan PKR tidak sebabkan perpecahan – Taufiq

MOHAMMED Taufiq Johari (kiri) menziarahi Muhammad Sufi Abdul Aziz di Taman Jitra Indah, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pemilihan PKR tidak lama lagi diyakini tidak akan menyebabkan perpecahan dalam parti meskipun terdapat pandangan mengenainya termasuk cadangan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. 

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, beliau sebaliknya berpandangan pemilihan itu akan menjadi medan untuk menyatu padukan semua kekuatan bagi membentuk pasukan yang akan menjadi wajah parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). 

Katanya, sebagai sebuah parti yang menjunjung demokrasi, PKR sentiasa bersikap terbuka dan tiada sekatan sama sekali untuk mana-mana pihak merebut sebarang jawatan. 

“Namun secara peribadi saya merasakan langkah untuk mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden adalah yang terbaik untuk parti. 

“Bagi jawatan timbalan pula, kita serahkan kepada pimpinan dengan saya sendiri tiada hak untuk menyekat mana-mana individu bertanding. Tetapi pada akhirnya, jawatan ini adalah beban dan amanah yang perlu ditanggung untuk berdepan PRU16 nanti. 

“Saya tak ada masalah jika ada pihak berpendapat supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan tetapi saya juga tak menyekat jika ada individu bertanding jawatan itu,” katanya. 

Mohammed Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, yang mendapat perhatian Perdana Menteri setelah menjual daging salai bagi menampung kos rawatan perubatan kepalanya yang cedera dalam kemalangan jalan raya, dua tahun lalu. 

Katanya, setiap individu yang menawarkan diri untuk bertanding dalam PKR memiliki kekuatan masing-masing yang pada akhirnya dapat digabungkan bagi menampung kelemahan yang ada. 

“Saya sendiri akan tetap membantu memperkukuh parti di peringkat negeri selain memastikan PKR kuat di peringkat nasional, khususnya dalam kalangan anak muda. Saya akan berusaha menyumbangkan tenaga dan idea untuk tujuan itu. Tentang jawatan apa yang akan saya tandingi, itu kita bincang kemudian,” katanya. 

PKR sebelum ini memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (MPAMK) akan diadakan pada 24 Mei depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya