PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail belum memutuskan apa-apa jawatan untuk bertanding dalam Pemilihan PKR yang dijadual berlangsung Mei depan.
Menurutnya, beliau akan menilai dan mengambil beberapa pertimbangan sebelum membuat keputusan.
“Saya akan (solat) istikharah dulu lah,” katanya ringkas ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri pernah bertanding jawatan nombor dua PKR pada 2022 namun, tewas kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Baru-baru ini, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung Mei ini.
Katanya, cadangan itu adalah berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini.
Namun, beberapa pemimpin PKR berpandangan dua jawatan utama itu harus dipertandingkan bagi menghidupkan demokrasi dalam parti berkenaan.
Jawatan Presiden PKR ketika ini disandang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh bulan lalu memberitahu parti itu akan mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat bagi sesi 2025-2028 pada 24 Mei depan. – UTUSAN