SEREMBAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga menambah, banyak pertimbangan harus dilihat sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Apabila sampai masanya, wahyu belum timbul lagi, mimpi pun tiada lagi. Ada akar umbi yang nak dan ada yang tak nak itu biasalah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan Negeri Sembilan Tahun 2025 di Seremban 2 di sini, hari ini.
PKR sebelum ini menetapkan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) akan diadakan pada 24 Mei ini.
Selain Aminuddin, penyandang jawatan Naib Presiden PKR ketika ini ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam pada itu, Aminuddin mengingatkan kepada semua ahli parti itu agar mengaktifkan keahlian mereka.
“Saya mohon semua ahli PKR seluruh negara dan Negeri Sembilan mengemas kini keanggotaan bagi membolehkan mereka berpeluang untuk memilih pada pemilihan parti Mei depan,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kerajaan negeri realistik mencapai sasaran kedatangan 20 juta pelancong pada tahun ini terutama menerusi pelbagai penganjuran acara dan program dalam Kalendar Acara Pelancongan (COE) Negeri Sembilan.
Aminuddin berkata, sasaran tersebut bukan satu perkara yang tidak masuk akal kerana krajaan ngeri juga sedang komited menggiatkan usaha dalam mempromosikan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
“Pada bulan Januari sahaja, daerah Port Dickson telah dikunjungi sejuta pelancong ke pantai peranginan tersebut. Maknanya jika 12 bulan kalau kita boleh kekalkan, Insya-Allah. Kita juga sedia maklum pelancong yang datang ke Port Dickson bukan sahaja ke pantai sebaliknya 60 peratus daripadanya juga hadir ke daerah lain seperti Kuala Pilah, dan Jelebu.
“Mereka ada aktiviti tersendiri yang kita nampak mendapat minat daripada orang luar Negeri Sembilan Kehadiran pelancong ke negeri ini adalah sebahagiannya ancong domestik seperti Putrajaya, Selangor dan Johor.
“Tumpuan kali ini pada tahun 2025 adalah membawa pelancong dari luar negara. Ini harus jadi tumpuan yang lebih bagi memastikan bahawa peningkatan pelancong luar negara itu memberikan satu faedah lebih baik kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.-UTUSAN