PONTIAN: Pemilihan bagi jawatan Ketua dan Penolong Ketua Pengawas sesi 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu, di sini agak berlainan berbanding sekolah yang lain.
Pihak pengurusan sekolah memperkenalkan pemilihan ala pilihan raya dengan guru-guru, kakitangan sekolah dan murid-murid membuat pengundian bagi memilih kepimpinan baharu pelajar sekolah tersebut.
Guru Besar SK Kampung Baharu, Fauziah Mohd. Noor berkata, seramai 71 pengundi yang terdiri daripada 50 murid, 12 guru, tiga anggota kumpulan pelaksana, dua pekerja pembersihan dan empat pengawal keselamatan akan menunaikan tanggungjawab mereka pada Jumaat ini.
“Terdapat dua orang calon bagi jawatan Ketua Pengawas, Harih Irfan Hairunnajeeb dan Muhammad Aaron Muaz Muhammad Shamsu Amirul, manakala dua bagi jawatan Penolong Ketua Pengawas, iaitu Nur Farisha Nadilah Mohd. Firdaus dan Hani Nurellyna Umairah Osman.
“Hari ini (semalam) berlangsung proses penamaan calon bagi kedua-dua jawatan tersebut serta taklimat ringkas tentang sistem pemerintahan di Malaysia oleh Ketua Panitia Sejarah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fauziah berkata, proses pengundian dijalankan seperti pilihan raya umum dalam tempoh satu jam bermula pukul 8 hingga 9 pagi.
“Pemilihan ala pilihan raya yang pertama kali diadakan di sekolah ini bertujuan mendedahkan murid-murid tentang kepentingan pilihan raya sambil memberi mereka pengalaman baharu,” katanya.
Kaedah ini bertujuan memberikan peluang kepada murid-murid untuk mengenali bakal ketua dan penolong ketua pengawas bakal memimpin mereka bagi tempoh dua tahun.
Fauziah memberitahu, SK Kampung Baharu berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) dengan kebanyakan murid-murid dari Kampung Baharu serta kawasan berhampiran dengan latar belakang pekerjaan keluarga terdiri daripada pekebun kelapa sawit, peniaga dan bekerja sendiri.