Pemilihan DAP: Tiga pemimpin tenggelamkan pengaruh Lim?

Pemilihan DAP: Tiga pemimpin tenggelamkan pengaruh Lim Guan Eng?

MAZLAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP yang kini dikuasai oleh ‘garis sederhana’ atau golongan pembaharu semakin mendominasi berban­ding ‘garis tradisional’ yang dilihat cuba mengekalkan pengaruh dan ideologi asal parti yang tidak lagi selari dengan percaturan politik semasa.

Fenomena ini semakin jelas apabila berlaku pertembungan antara pemimpin baharu yang lebih mesra Melayu dan pe­mimpin lama parti yang tidak bersetuju dengan pendekatan tersebut.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali, berkata, berikutan itu berlaku taktik mengetengahkan isu tidak popular ditimbulkan sesetengah pemimpin lama untuk menunjukkan mereka masih relevan.

Katanya, sekitar tahun 70an, DAP dikenali sebagai cauvinis kerana perjuangannya tidak mesra Melayu, tetapi selepas sedekad, DAP terbuka dan secara tidak langsung arus DAP lebih dekat dengan orang Me­layu.

Sebagai contoh, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, merupakan kelulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dilihat lebih mesra dengan masyarakat Melayu berbanding pemimpin DAP terdahulu.

“Ia seolah-olah momentum dari garis lama di mana ada satu gerakan masih lagi cuba untuk mempertahankan DAP dalam bentuk asal.

“Malah golongan baharu dalam DAP kini lebih popular sebab DAP ada hubungan de­ngan UMNO dalam kerajaan dan ini menampakkan DAP cuba membentuk perubahan dan sebab itu kita lihat Lim Guan Eng tidak lagi relevan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mazlan berkata DAP makin terbuka dan dekat dengan orang Melayu, menjadikan golongan baharu dalam DAP lebih popular kerana parti menunjukkan perubahan.

Kata Mazlan, pemilihan kali ini dijangka menjadi penentu kepada masa depan DAP, dengan sokongan perwakilan menjadi faktor utama dalam menentukan hala tuju dan kepemimpinan parti pada masa hadapan.

Pemilihan DAP pada 16 Mac ini menarik perhatian umum memandangkan ia sebahagian daripada gabungan memerintah, tidak seperti persaingan sebelum ini.

Ada dua kelompok, satu diketuai Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dan Loke yang juga merupakan Setiausaha Agung parti.
Malah, Loke dikatakan kini bekerjasama dengan seorang lagi pemimpin DAP iaitu Nga Kor Ming yang sebelum ini menjadi pesaing pada pemilihan lalu.

Mazlan berkata, pengaruh Lim juga dilihat semakin berkurang dalam parti apabila ramai yang menarik diri daripada pemilihan parti, sekali gus membuktikan ‘garis sederhana’ itu terus mendominasi kedudukan dalam parti.

“Dulu DAP ada Ronnie Liu, ada Ong Kian Ming, tetapi sekarang ramai yang tiada dan menarik diri daripada pemilihan parti. Tan Kok Wai, M Kulasegaran pun sudah tarik diri. Jadi, pengaruh Lim akan terus tenggelam jika mereka kekal dengan idea asal dan tidak menerima reformasi dalam parti,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­mimpin DAP yang tidak mahu dikenali, melihat potensi Steven Sim mampu menjejaskan pengaruh Lim dalam merebut jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sim yang kini merupakan Menteri Sumber Manusia antara nama disebut-sebut menjadi pesaing kepada adik Lim Guan Eng iaitu Lim Hui Ying untuk merebut jawatan berkenaan.

“Ketiga-tiga pemimpin DAP, Steven Sim, Nga Kor Ming dan Anthony Loke, berpotensi untuk mengenepikan pengaruh Lim pada pemilihan kali ini. Tetapi, kena lihat kepada sokongan perwakilan yang berat ke arah mana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya