Pemilihan DAP, Kulasegaran tarik diri

Pemilihan DAP, Kulasegaran tarik diri

M. KULASEGARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M. Kulasegaran menarik diri daripada pemilihan parti itu dijadual bulan depan.

Kulasegaran yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, beliau tidak akan mempertahankan jawatan Ahli Eksekutif Pusat (CEC) DAP, bagi memberi laluan kepada pemimpin muda untuk memimpin parti.

“Saya percaya sudah tiba masanya untuk saya mengambil langkah ke belakang dan membolehkan generasi muda memimpin sementara parti ini menyegarkan semula dirinya untuk menghadapi cabaran-cabaran negara yang semakin berubah.

“Ketika kita melangkah ke hadapan, saya dengan ikhlas berharap parti ini akan terus kekal setia kepada prinsip asas penubuhannya sambil merangka hala tuju baharu dengan generasi muda memimpin, katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, dua pemimpin veteran DAP, Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun, mengumumkan menarik diri daripada pemilihan parti kerana ingin memberi laluan kepada pelapis baharu.

Tan ialah Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Cheras, manakala Fong ialah Bendahari DAP dan juga Ahli Parlimen Bukit Bintang.

Kulasegaran turut mengingatkan pemimpin muda agar tidak melupakan ahli-ahli yang berjasa kepada parti.

“Saya masih ingat walaupun menghadapi kesulitan kewangan yang teruk, ramai ahli parti pada masa itu menggunakan wang mereka sendiri untuk menghadiri acara parti, membantu dalam pilihan raya, dan menyokong perjuangan kita, semata-mata dengan harapan untuk membina Malaysia yang lebih baik.

“Ahli-ahli yang berdedikasi ini masih bersama kita sehingga hari ini, dan kita mesti terus menghargai sumbangan mereka. Saya berharap mereka tidak akan dilupakan,” katanya.

Kulasegaran yang juga seorang peguam berkata, dia menyertai DAP kerana idealisme sosialis dan demokratik serta perjuangan pelbagai kaum untuk Malaysia yang adil dan inklusif.

“Ia merupakan satu penghormatan yang besar untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.

“Sejak penubuhannya, DAP telah memperjuangkan hak rakyat Malaysia biasa, khususnya golongan pekerja dan hak asasi manusia secara keseluruhan.

“Parti ini mesti sentiasa kekal setia kepada asas sosialisnya, berjuang untuk kesaksamaan, keadilan, hak asasi manusia dan tadbir urus yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya