Pemeriksaan Puspakom ikut syarat JPJ

Pemeriksaan Puspakom ikut syarat JPJ

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua operasi pemeriksaan yang dijalankan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) mengikut kaedah dan prosedur ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tanpa sebarang kuasa untuk mengubah mana-mana kaedah atau syarat pemeriksaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, walaupun terdapat pandangan bahawa pelekat berat muatan yang pudar tiada kaitan dengan keselamatan jalan raya, pihaknya tetap perlu mematuhi arahan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Kami tidak mempunyai kuasa mengubah kaedah telah ditetapkan. Walaupun perkara tersebut mungkin dianggap bukan berkaitan keselamatan, kami perlu memastikan bahawa pemeriksaan dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Jika tidak, kami boleh didenda oleh JPJ.

“Semua pemilik ken­deraan tahu apa syarat yang perlu dipatuhi. Jika mereka membawa kenderaan yang tidak mematuhi syarat untuk pemeriksaan, ini menunjukkan sikap sambil lewa mereka terhadap syarat dan kaedah yang telah dikuatkuasakan. Inilah masalah sikap yang kita perlu tangani,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kelmarin Setiausaha Per­satuan Lori Sib, Augustine Paat menggesa Puspakom lebih telus dan adil menjalankan pemeriksaan berkala terhadap lori, terutama selepas timbul pelbagai adu­an daripada pengusaha lori yang mendakwa mereka menghadapi kesulitan ketika proses pemeriksaan.

Katanya, pemilik atau pengusaha lori diwajibkan menjalani pemeriksaan se­tiap enam bulan bagi mendapatkan permit operasi, di mana aspek keselamatan diuji namun terdapat kes pemeriksaan gagal atas alasan tidak munasabah, termasuk pelekat berat muatan di sisi lori yang pudar.

Mahmood Razak berkata, keselamatan jalan raya tanggungjawab semua pihak, termasuk pemilik kenderaan dan syarikat yang perlu me­lakukan pemeriksaan ken­deraan dengan telus dan berintegriti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya