JOHOR BAHRU: Gara-gara menulis komen dengan kata-kata menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong, Disember lalu, seorang pembantu tukang jahit didenda RM4,000 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norli Mohamed Yusof, 53, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Norli didakwa menerbitkan hantaran menerusi akaun Facebook Nori Norli dengan kata-kata menghasut bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di Bandar Seri Alam, di sini kira-kira pukul 2 petang, 11 Disember lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, seorang pengadu telah melihat satu hantaran bergambar di sebuah akaun Facebook yang menunjukkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama-sama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang makan tengah hari di sebuah restoran asam pedas di Johor Bahru.
Pengadu melihat pemilik akaun Facebook Nori Norli iaitu tertuduh, telah memuat naik komen yang berunsur dan mempunyai kecenderungan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam.
Semakan dan risikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati akaun Facebook Nori Norli didaftarkan di nombor telefon anak perempuan tertuduh dan siasatan mengesahkan bahawa akaun Facebook itu dikendalikan tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Abdul Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi dan P. Rajagunaseelan.
Terdahulu, peguam memohon tertuduh dikenakan denda yang minimum memandangkan ibu kepada lima anak itu mengaku bersalah selain bekerja sebagai pembantu tukang jahit dengan gaji antara RM400 hingga RM500 sebulan, manakala suaminya pembantu gerai dengan gaji antara RM800 hingga RM1,000 sebulan.
Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan tertuduh amat serius, iaitu membabitkan kata-kata hinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong supaya menjadi pengajaran kepada pengguna media sosial lain.- UTUSAN