IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pembantu rumah yang dikatakan telah dirogol oleh bekas Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong sebenarnya memberi keterangan palsu.
Wanita berusia 24 tahun itu memberi keterangan palsu itu hanya kerana mahu pulang ke rumahnya di Indonesia.
Perkara itu dinyatakan sendiri oleh `mangsa’ kepada Pathurrahman, 58, yang merupakan seorang peguam beralamat di Sumbawa, Indonesia.
Menurut Pathurrahman yang juga saksi pembelaan tambahan pertama, wanita itu datang ke pejabatnya pada 20 Mei 2024 untuk mendapatkan nasihat undang-undang dan memaklumkan bahawa dia yang bekerja sebagai pembantu rumah Yong Choo Kiong.
Pathurrahman berkata, bekas pembantu rumah itu mempunyai kontrak kerja selama tiga tahun dan telah bekerja di rumah keluarga Yong Choo Kiong bermula 7 Mei 2019 dan sepatutnya tamat perkhidmatan pada Mei 2021.
Wanita itu bagaimanapun hendak menamatkan kontraknya dengan lebih awal namun dihalang oleh keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu.
“Dia memberitahu saya telah membuat aduan terhadap seseorang bernama Yong Choo Kiong bahawa dia telah dirogol oleh lelaki itu. Dia juga telah memberi keterangan terhadap Yong Choo Kiong di mahkamah Malaysia.
“Wanita itu kemudian membuat pengakuan kepada saya bahawa dia telah memberi keterangan palsu kepada Yong Choo Kiong dan berhasrat menarik balik keterangan itu.
“Alasan dia membuat atau memberi keterangan palsu adalah kerana hendak pulang ke rumahnya di Indonesia,” kata peguam itu melalui penyataan bertulis yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Indonesia di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed di sini hari ini.
Menurut Pathurrahman, dia kemudian telah menasihati wanita itu bahawa memberi keterangan palsu merupakan kesalahan serius dan berhak untuk menarik semula keterangan berkenaan.
“Saya menasihatinya bahawa adalah lebih baik bercakap benar daripada seseorang yang tidak bersalah disabitkan kesalahan secara tidak adil.
“Setelah mendengar nasihat saya, tanpa paksaan dan intimidasi, wanita itu bercadang menarik balik keterangan di Malaysia dan saya telah diarahkan untuk menyediakan satu surat penyataan berkaitan perkara itu,” katanya.
Tambahnya, wanita itu juga melahirkan rasa kesal dan permohonan maaf atas keterangan yang pernah disampaikan di mahkamah di Malaysia dan memberitahu sebagai tidak benar.
Surat penyataan (pengakuan) bekas pembantu rumah itu yang disediakan oleh Pathurrahman pada 21 Mei 2024 dan disahkan oleh notari awam pada 22 Mei 2024 itu turut dibacakan di mahkamah pada prosiding hari ini.
Pengakuan itu antara lain berbunyi: “Saya memberikan keterangan tersebut sekadar untuk mencari alasan agar dapat pulang ke Indonesia sebelum kontrak kerja berakhir.
“Saya ingin memutus kontrak kerja sebelum waktunya tetapi dilarang oleh keluarga Yong Choo Kiong sehingga harus mencari alasan yang tepat.
“Setelah saya berkonsultasi dengan pengacara saya Bapak Pathurrahman tentang keinginan saya untuk mencabut keterangan sebelumnya, pengacara saya mendukung dan memberi nasihat bahawa mencabut keterangan adalah hak setiap orang.
“Berdasarkan hal-hal yang terurai di atas, dengan kesedaran penuh dan tanpa paksaan atau intimidasi daripada pihak manapun, (saya) dengan ini mencabut keterangan yang pernah saya sampaikan di pengadilan Mahkamah Sesyen Malaysia tentang pemerkosaan yang dilakukan oleh Yong Choo Kiong sekali gus menyatakan segala keterangan yang saya berikan tidak berlaku dan tidak dapat dipergunakan untuk menuntut atau melawan Yong Choo Kiong,” menurut penyataan bekas pembantu rumah itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Mac depan untuk menyediakan pandangan berhubung bukti baharu yang dikemukakan pihak pembelaan di mana laporan itu akan dihantar ke Mahkamah Persekutuan untuk digunakan ketika rayuan.
Pasukan pembelaan diwakili peguam-peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Rajpal Singh, Salim Bashir dan Low Wei Loke manakala pihak pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Qurratu’aini Khalifah.
Pada 12 November lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal yang bersidang bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah membenarkan bekas ADUN Tronoh itu untuk memasukkan bukti baharu membabitkan kes rogol pembantu rumahnya.
Panel tiga hakim itu memutuskan demikian selepas mendapati terdapat unsur menunjukkan mangsa memberikan keterangan palsu pada perbicaraan kes itu sebelum ini.
Dengan keputusan tersebut, pendengaran rayuan akhir Choo Kiong yang sepatutnya didengar pada 25 November 2024 ditangguhkan dan mahkamah menetapkan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh pada 27 November lalu.
Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 mengekalkan sabitan salah terhadap Choo Kiong namun meminda hukuman 13 tahun kepada lapan tahun. Hukuman sebat dua kali dikekalkan.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Choo Kiong, 54, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 24 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019. – UTUSAN