DUNGUN: Seorang pembantu awam sekolah yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Jalan Felda Kerteh Dua-Tiga, berhampiran Ketengah Jaya, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, Muhammad Naim Mohd. Nizam, 24, yang bertugas sebagai pembantu awam di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Paka, maut di tempat kejadian ekoran kecederaan di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Waja.
”Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN