JOHOR BAHRU: Seorang pemandu yang belum dapat dipastikan identiti rentung terbakar apabila kenderaannya terlibat dalam kemalangan di Taman Setia Tropika di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd. Yazid Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.58 pagi.
Katanya, tujuh anggota berserta dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati terdapat seorang mangsa yang tidak dapat dipastikan identiti dan jantinanya telah maut akibat rentung di tempat duduk pemandu.
“Kereta Honda City dinaiki mangsa berada dalam keadaan 90 peratus musnah terbakar dipercayai selepas terbabas dan merempuh pembahagi jalan,” katanya.
Tambah Mohd. Yazid, jasad mangsa yang dikeluarkan daripada kenderaan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 6.12 pagi. – UTUSAN