GUA MUSANG: Seorang pemandu lori balak maut akibat tersepit selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan terbalik di kawasan jalan balak di Kampung Panggung Lalat, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, Mohamad Zulkarnain Azmi, 31, maut di lokasi manakala seorang kelindan berusia 21 tahun mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati lori itu dalam perjalanan dari jalan kongsi betau balak menghala ke jalan betau balak luar.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, lori yang dipandu Mohamad Zulkarnain telah hilang kawalan ketika melalui selekoh ke kanan jalan sebelum terbalik.
“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa tersepit di bahagian pemandu. Mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Gua Musang. Mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan dan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya. – UTUSAN