JOHOR BAHRU: Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang merempuh empat buah kenderaan lain di lampu isyarat Jalan Kempas Baru petang semalam, tidak mabuk atau khayal dadah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh sehubungan itu meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan melibatkan kemalangan yang berlaku pada pukul 5.10 petang, semalam.
Katanya, kejadian yang tular di media sosial itu menunjukkan kenderaan pacuan empat Ford Ranger 2.0 dipandu lelaki berusia 33 tahun itu merempuh empat buah kenderaan lain.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda itu melanggar sebuah Perodua Axia dihadapannya, sebelum terbabas memasuki lorong bertentangan dan merempuh sebuah van serta dua buah motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat.
“Akibat kejadian itu, pemandu van cedera di kepala dan kaki, manakala kedua-dua penunggang motosikal mengalami beberapa kecederaan termasuk di tangan dan leher. Sementara pemandu pacuan empat roda dan pemandu Perodua tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Balveer Singh, kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan susulan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-35807871 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN